Aug 31, 2009

Ayuh Anak Muda : Pertahankan kemerdekaan, Tolak Politik Perkauman !

Setelah 52 tahun Merdeka adalah amat penting untuk generasi muda Malaysia kembali melihat dan memahami semangat kemerdekaan itu sendiri. Intipati kemerdekaan terkandung dengan jelas di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan yang menekankan aspek keadilan dan kebebasan untuk rakyat negara tercinta.

Namun setelah 5 dasawarsa, terdapat rakyat yang tidak mampu menghayati erti kemerdekaan dan menganggap merdeka membolehkan mereka untuk hidup tanpa memikirkan mengenai masa depan negara dan kepentingan bersama. Golongan ini mengambil mudah kemerdekaan yang diperolehi dengan membayar harga yang mahal oleh generasi pengasas negara ini yang mengorbankan harta benda, kebebasan dan darah.

Lebih malang apabila pemerintah sendiri lupa dan khianat kepada teras kemerdekaan yakni menjamin keadilan dan kebebasan untuk rakyat berbilang keturunan dan agama. Pemerintah hari ini bertindak sewenang-wenangnya merebut kekayaan negara untuk kepentingan diri sendiri dan kroni. Pada masa yang sama sentimen perkauman dipai-apikan sehingga menimbulkan syak wasangka, salah faham dan permusuhan antara kaum.

Pemerintah BN hari ini melabelkan sesiapa yang cuba mempertahankan hak sah semua kaum dan memupuk perpaduan sebagai pengkhianat. Walhal mereka yang khianat dengan menjual tanah dan kepentingan strategik negara kepada orang asing. Mereka juga khianat dengan mengajak rakyat untuk bermusuhan. Mereka mahu Melayu menaruh prasangka dan membenci kaum lain. Pada masa yang sama mereka mahu orang Cina, India dan Bumiputra merasa terancam dan membenci orang Melayu. Lagak mereka ini tidak ubah seperti penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan perintah (divide and rule).

Semua ini mereka lakukan dengan tujuan yang sama seperti penjajah, iaitu untuk mengekalkan hegemoni dan penguasaan mereka. Tatkala rakyat disibukkan dengan permusuhan dan kebencian, pemerintah akan bebas merompak kekayaan negara ini. Mereka mengalihkan perhatian rakyat untuk mengekalkan penguasaan mereka dan memudahkan mereka merompak di siang hari.

Kerana itu saya menyeru rakyat Malaysia, khususnya anak muda, untuk memainkan peranan utama mempertahankan kemerdekaan negara dengan menentang sikap perkauman. Pada masa yang sama kita perlu memberi perhatian khusus kepada korupsi dan berjuang menentang amalan rasuah dan pengelewengan. Kita mesti berani untuk mengatakan tidak kepada tindakan-tindakan korup pemerintah.

Anak muda mempunyai tanggungjawab besar untuk bergerak aktif memperjuangkan semangat kemerdekaan melalui parti politik, gerakan masyarakat dan pelbagai wadah lain termasuk menyampaikan mesej melalui seni budaya dan sebagainya. Peranan paling asas yang perlu dilaksanakan ialah dengan mendaftarkan diri sebagai pengundi dan keluar mengundi dalam setiap pilihanraya.

Sebagaimana anak-anak muda negara ini bersama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, anak muda sekarang perlu memastikan suara, harapan dan buah fikiran mereka juga turut sama dalam membentuk halatuju dan masa depan negara ini. Ini tanggungjawab anak merdeka.

Kerana kita mahukan masa depan yang lebih baik, negara yang adil, bebas dan harmoni; kita perlu berusaha mendapatkannya. Sebagaimana para pejuang kemerdekaan menghadapi penjajah dengan berani, anak muda juga perlu menghadapi pemerintah hari ini dengan berani.

Bersama kita lakukannya !

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Aug 4, 2009

Projek Tanaman Pisang secara komersial di Lipis

AMK Cabang Lipis berkerjasama dengan Keadilan Cabang Lipis untuk menjayakan projek tanaman pisang secara komersial di tanah seluas 3 ekar di Kg. Peruang, Mukim Budu, Kuala Lipis.Sebahagian dari hasil akan digunakan untuk menampung perbelanjaan aktiviti cabang Lipis

Jul 31, 2009

ADUN Permatang Pasir Kembali Ke Rahmatullah

31hb Jul 2009 - ADUN Permatang Pasir dari PAS, Dato Mohd Hamdan Abdul Rahman telah meninggal dunia pagi tadi di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.Beliau yang telah mewakili DUN tersebut selama 3 penggal meninggal akibat kegagalan fungsi jantung beliau. Jenazah beliau dijangka akan dikebumikan di Permatang Pasir selepas Asar hari ini.Takziah daripada AMK Pahang kepada keluarga Allahyarham.






Jul 30, 2009

Projek Tanaman Limau Komersial Di Pelangai Bentong

30hb Jul 2009 - Projek yang sedang dalam fasa perlaksanaan in i berjalan mengikut jadual dan proses penanaman akan dilakukan dalam masa seminggu.Tanah yang diusahakan sudah dipagar dan dibajak.Lubang akan digali dalam minggu ini sementara menunggu anak benih sampai dari batang kali.Syabas kepada AMK Bentong dan teruskan usaha gigih anda.Pastikan kejayaan projek ini.



Jul 29, 2009

Sekitar Program Pentas Anak Muda di Raub

28hb Julai 2009 - Buat julung kalinya, Pentas Anak Muda Pakatan Rakyat telah berjaya menggabungkan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasharuddin Tantawi bersama-sama Ketua AMK Malaysia, Sdr. Shamsul Iskandar dan juga YB Teo dari Bahau mewakili DAPSY.

Antara isu-isu yang disentuh oleh pemidato muda ini termasuklah kes
kematian mendiang Teo Beng Hock, Pemansuhan ISA dan juga beberapa perkara-perkara lain mengenai nasional dan setempat.










Jul 27, 2009

Pentas Anak Muda

Pakatan Rakyat Parlimen Raub akan menganjurkan program Ceramah Pentas Anak Muda yang menggabungkan Ketua DPP PAS Ustaz Nasharuddin Tantawi dan Ketua AMK Malaysia Sdr. Shamsul Iskandar Mohd Akin serta wakil dari DAP.Perincian Program :

1. Tempat : Markas PAS Kg. Ulu Gali Raub Pahang
2. Tarikh & Masa : 28hb Julai 2009 bermula Jam 9 malam

Semua pencinta keamanan dan kedamaian dijemput hadir

Edaran Risalah Di Pasar Minggu Raub



26hb Jul 2009 - AMK Pahang dengan kerjasama PKR cabang Raub telah mengadakan gerak kerja mengedar risalah di Pasar Minggu Raub bermula jam 9.15 pagi dan berakhir 1 jam kemudiannya.Seramai 14 orang ahli AMK terlibat termasuk 4 orang Serikandi AMK.

YB Choong ADUN DAP Tras turut sama menyertai program tersebut.Sambutan dari orang ramai agak mengalakkan dimana 1,000 risalah mengenai kekejaman BN dan informasi ceramah Pentas Anak Muda telah diedarkan