Dipetik dari Blog Sdr. Ahmad Nizam Hamid,Ketua PKR Temerloh.
Hujung minggu kelmarin saya diundang oleh Sdr.Rizal Jamin,Ketua Angkatan Muda (AMK) Pahang ke acara Program Rapat Muda Negeri Pahang.Program yang berlangsung di Kg.Janda Baik itu begitu menyegarkan.
Bukan sahaja kerana udara segar Kg. Janda Baik ditepi perbatasan Tulang Belakang Semenanjung,Banjaran Titiwangsa itu membangkitkan ghairah berjuang,tetapi lebih dari itu apabila melihat hampir 120 orang anak muda,ahli AMK berkumpul,semangat dari dalam diri saya menjadi menggebu.Anak-anak muda ini-lelaki dan perempuan-berkumpul untuk sama-sama mencanai minda dan melampas otak guna membentuk kesepaduan tindakan politik melalui Parti Keadilan Rakyat.
Saya tidak dapat menahan diri dari menjadi nostalgiks,mengenangkan liku-liku perjuangan selama sedekad ini.10 tahun malam memanjang (dengan apologi kepada Ahmad Boestamam) terasa waktu berlalu dengan pantas.Dalam usia yang relatif muda KEADILAN (sebelum ini dikenali dengan nama Parti Keadilan Nasional atau singkatannya,KeADILan) melalui pengalaman pasang-surutnya dan melalui pelbagai onak dan duri.
Parti yang ditubuhkan pada 4.4.1999 di Renaissance Hotel Kuala Lumpur sewaktu kemuncak gelombang Reformasi berikutan pemecatan dan konspirasi fitnah terhadap Anwar Ibrahim,pada hari ini telah menjadi wadah politik yang disegani kawan dan lawan.Tumbuhnya KEADILAN seperti yang ada sekarang kerana,antaranya,sokongan dan kerjakeras anak-anak muda.Benar,KEADILAN tumbuh,hidup dan membesar kerana peranan yang dimainkan oleh anak-anak muda.Anak-anak muda yang berani berhadapan dengan penguasa zalim,bertempur dengan FRU,pecah kepala di pukul UMNO/BN,memanjat sehingga ke hujung julai pokok memasang bendera,tampal poster,atur ceramah,edar handbill dan pada masa yang sama kendalikan bahagian;kesemua ini sebahagian daripada 'tugas wajib' anak-anak muda yang dilakukan dengan penuh rela dan percuma.
Malah sebahagian besarnya tidak pernah terlibat dengan politik sebelum ini dan saya salah seorang contoh terbaik.Tiba-tiba sahaja diamanahkan menjadi Pemimpin Bahagian sedangkan pengalaman terlalu dangkal.Namun tuntutan perjuangan dan keberanian menghadapi cabaran disambut dengan penuh rela.Maka tidak keterlaluan jika saya nyatakan 'wujudiah' KEADILAN seperti yang ada pada hari ini kerana keterampilan,keberanian dan komitmen serta keikhlasan anak-anak muda.
Jadi saya melihat Rapat Muda AMK Pahang di bawah pimpinan Sdr.Rizal mencerminkan kesinambungan keazaman anak-anak muda untuk terus berjuang membawa perubahan.Anak-anak muda yang datang dari seluruh pelusuk Negeri Pahang dan dari pelbagai latarbelakang ini nampaknya begitu komited dan menekuni setiap acara yang ditetapkan.
Dalam semua sejarah perjuangan,keterlibatan anak-anak muda menjadi faktor penentu berjaya atau tidaknya perjuangan tersebut mencapai matlamatnya.Dari sirah perjuangan Rasulullah S.A.W sendiri boleh dilihat dari keterampilan peribadi anak muda yang bernama Saidina Ali b. Abi Thalib r.a yang begitu berani kehadapan;malah tanpa memikirkan kepentingan diri menyanggupi menggantikan Rasullulah S.A.W di kasur tidur baginda tatkala Rasulullah S.A.W memulakan `long march' baginda berhijrah ke Yathrib.Saidina Ali tahu risiko yang bakal dihadapinya yang memungkin beliau dibunuh oleh Quraisy tetapi demi kecintaan kepada Rasulullah dan demi keyakinan kepada perjuangan menegakkan agama ALLAH,beliau sanggup mengambil risiko.
Demikian juga kalau kita membuka lembaran sejarah perjuangan yang lain.Bukankah Revolusi Indonesia melawan Belanda di menangi kerana penyertaan anak-anak muda?Seusai Almarhum Kiyai Hj Agus Salim menyeru dari corong radio agar anak-anak muda Indonesia bangkit berjihad melawan Belanda (ketika itu diwakili oleh Tentera Bersekutu yang baru sahaja mendarat sementara menunggu Belanda kembali ke Indonesia),ribuan anak-anak muda turun ke medan perang dengan hanya bersenjatakan bambu runcing!
Dan kemudian anak-anak muda juga yang kehadapan berikutan Peristiwa GS30 setelah pembunuhan beberapa orang General yang ditanam didalam lubang di Kubang Buaya oleh elemen PKI dalam tahun 1965 menuntut pertangunggjawaban Sukarno yang akhirnya membolehkan Suharto menjadi Presiden Indonesia.Waktu berputar dimana sekali lagi anak-anak muda Indonesia turun ke gelanggang melaungkan dan malah,menuntut Reformasi sehingga mengorbankan anakmuda mahasiswa dari Universitas Trisakti.Natijahnya Suharto meletak jawatan yang sekali gus menamatkan era pemerintahan regim OrBa (Orde Baru).Kesan langsung dari keterlibatan anak muda ini ialah demokrasi menjadi subur di Indonesia.
Maka yakinlah perjuangan yang dipartisipasi secara aktif oleh anak-anak muda lambat laun akan menempa kejayaan;malah menjadi pra-syarat utama jika ingin melihat perubahan lanskap politik tanahair maka anak-anak muda ini perlu disantuni.Seluruh tenaga dan semangat anak-anak muda harus digembeling demi merealisasikan cita-cita Politik Baru dan untuk melihat Negara Malaysia yang lebih adil dan demokratiks.
Saya fikir,diatas premis ini acara Rapat Muda AMK Pahang menjadi begitu signifikans.Tenaga dan fikrah anak-anak muda sekurang-kurangnya dapat di gembeling guna melahirkan upaya dan strategi politik yang ampuh di Pahang khususnya.Jika tenaga dan fikrah anak-anak muda ini gagal disantuni dengan sempurna,maka kita akan kehilangan kekuatan yang signifikans lagi kental.
Saranan saya,selain acara seumpama ini,kursus-kursus politik yang mencakupi ruanglingkup yang lebih besar perlu dilaksanakan.Anak-anak muda ini perlu didedahkan kepada budaya ilmu dan intellectual discourse guna menyediakan mereka dengan ilmu dan kemahiran politik.Sifat anak muda yang penuh idealisme dan berani mencuba seharusnya di tuang didalam acuan ilmu.Saya penuh keyakinan dengan idealisme anak muda yang dipacu dengan kebijaksanaan ilmu,perjuangan menegakkan keadilan dan demokrasi ketimbang mempastikan UMNO/BN di talkinkan,insyaAllah,akan beroleh kejayaan.
Saya teringat kepada saranan filsuf Greek yang menyarankan agar melihat dan/atau memiliki prinsip-prinsip yang disebut sebagai logos (logik),ethos (etika) dan methos (kaedah/uslub/metodologi) yang harus ada didalam diri setiap pejuang.Ertinya upaya untuk menilai keadaan atau medan hendaklah dilihat dari kacamata ilmu disamping punya keperibadian luhur yang beretika didalam melaksanakan kaedah atau pendekatan yang ampuh,Kesemua ini boleh dicapai melalui budaya ilmu dan pengalaman.
Kepada saudara Rizal Jamin Ketua AMK Pahang dan teman-teman pimpinan AMK,salut dari saya!