OKT 27 — Saya terharu, menonton filem Al-Fatehah Memali hasil karya Rahmat Haron. Dokumentari beliau memberi kesempatan untuk merenung dengan mendalam dua perkara.
Pertamanya, sejarah Malaysia langsung tidak kurang dari segi peristiwa yang boleh dijadikan hikayat epik. Keduanya, betapa pentingnya kita belajar dari sejarah dalam usaha memahami dan menangani krisis-krisis yang melanda Malaysia pada saat ini.
Semasa penayangan Al-Fatehah Memali, ramai di antara penonton memaklumkan dalam sesi soal jawab bahawa pada waktu peristiwa tersebut, mereka masih muda atau kanak-kanak. Usia saya tidak sampai 5 tahun.
Pengarah filem menceritakan bagaimana sebagai anak muda, beliau mengikuti peristiwa tersebut melalui media arus perdana dan penuh dengan rasa syukur kepada kerajaan yang telah dengan berani menyelamatkan Malaysia dari elemen-elemen sesat dan pengganas.
Filem ini merupakan pengenalan baru untuk saya, yang jahil kepada peristiwa yang di antara paling berdarah di sejarah Malaysia. 14 penduduk kampung kecil di Kedah mati dibunuh pasukan keselamatan Malaysia kerana enggan menyerah diri kepada penahanan dibawah ISA. 4 polis terkorban, dan akhirnya 36 penduduk kampung ditahan di kem Kamunting.
Peristiwa Al-Ma'unah yang melibatkan pihak-pihak yang bersenjata lengkap dan dengan ketara ingin menumbangkan kerajaan Malaysia pun tidak melibatkan pengorbanan nyawa seramai di peristiwa Memali, yang ada akar-umbinya dalam perselisihan di antara Umno dan PAS. Pepatah Inggeris: "Truth is Stranger than Fiction" Jika dibandingkan dengan drama-drama seperti Braveheart, atau filem-filem Hollywood berunsurkan perang atau perjuangan, tidak kurang cerita Memali dari segi dramanya.
Jika dibandingkan pula kepada filem-filem seperti Enemy of the State, JFK, atau The Bourne Ultimatum, tidak kurang juga Malaysia, dari segi drama skandal dan konspirasi politik.
Dalam masa setahun dua sahaja, Malaysia telah melihat kematian kakitangan politik akibat jatuh dari bangunan tinggi, penumbangan kerajaan Perak, kematian pemuda-pemuda kerana dibelasah dalam lokap, penahanan di bawah ISA seorang wartawan yang melaporkan ahli politik yang mengapikan sentimen perkauman, kemunculan tuduhan liwat kedua, kekecohan dalaman hampir semua parti politik, dan sebagainya.
Siapa pula boleh lupakan kes perempuan yang diletup dengan C4 di hutan Shah Alam, berkaitan pembelian kapal selam dan komisen beratusan juta ringgit?
Cuba bayangkan, potensi drama-drama yang berdasarkan realiti di Malaysia.
Walaubagaimanapun, sejarah Malaysia mungkin seharusnya dinilai bukan sahaja seolah beberapa filem yang berbeza, seperti dilakukan oleh majoriti penganalisa, tetapi seandai sebuah novel panjang.
Novel Sejarah Malaysia
Keputusan Bagan Pinang telah merisaukan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat dan mendorong reformis kepada Reformis untuk memberi amaran bahawa Pakatan akan lesap sekiranya tidak berubah hala tujunya.
Secara am, saya bersetuju.
Kita harus ingati kecenderungan yang bakal menjadi corak di Negara kita. Setiap 10 tahun, kita dilanda krisis ekonomi dan politik. Setiap 10 tahun, Barisan Nasional kian dekat dengan kekalahan.
Setiap 10 tahun, BN kekal juga.
Tidak tepat, rasanya, jika dikatakan BN kekal kerana formulanya yang mantap atau kekebalan pemimpinnya. Kekekalan BN yang berdekad-dekad adalah berasaskan kegagalan pembangkang untuk benar-benar bersatu.
Ini tidak bermaksud BN tidak pernah mengalamai krisis dalaman sendiri.
Masalah MIC dan MCA serta krisis Umno tahun lepas jelas menampakkan bahawa kelemahan ini tidak terhad kepada pihak pembangkang. Masalah ini melanda semua badan politik di dunia, tetapi Malaysia seandainya mengalaminya dengan lebih parah dari negara lain.
Ajaran Gagasan Rakyat dan Barisan Alternatif
Pakatan Rakyat merupakan percubaan terbaik untuk menyatukan elemen-elemen anti-BN, tetapi ia juga merupakan percubaan ketiga.
"Ibubapa" Pakatan Rakyat dari segi politik adalah Gagasan Rakyat zaman Semangat 46 dan Barisan Alternatif zaman Reformasi. Kedua-duanya akhirnya berpecah dan Malaysia dibiarkan lagi dengan sebuah lanskap politik yang monolitik, seperti kedudukan Amerika selepas Perang Dingin.
Apakah Pakatan Rakyat juga akan turut hancur dan lesap?
Jawapan mesti dicari dalam kegagalan dahulu. Kenapa gabungan-gabungan ini berjaya membara dengan kuat buat seketika, dan seterusnya semakin lemah dan berpecah?
Nampaknya yang pemalar adalah rasa tidak puas hati terhadap BN, yang meningkat ke tahap tertinggi setiap 10 tahun. Soalnya sahaja, adakah pembangkang mampu membina sebuah gabungan yang mantap dan teguh untuk memenang keyakinan rakyat, mengungkap harapan rakyat, dan menterjemahkan rasa tidak puas hati tersebut kepada sebuah penukaran kerajaan?
Rakyat Malaysia berbesar hati, dan selalu sanggup memberi peluang — tetapi biasanya hanya sekali. Sekiranya mana-mana pihak diberi amanah oleh rakyat tetapi masih gagal untuk mengatasi masalah dalaman remeh-temeh (sekurang-kurangnya dalam mata rakyat), sejarah akan berulang lagi, dan pakatan baru bakal lesap seperti yang dahulu.
Sibuk Jaga Bilik, Rumah Dibiar Terbakar
Setiap 10 tahun, parti-parti pihak pembangkang serta pemimpinnya dihadapi dengan soalan yang sama — sanggupkah mereka berkorban kepentingan diri sendiri demi masa depan negara? Atau apakah mereka lebih cenderung memegang kepada bilik kecil masing-masing ketika membiarkan rumah keseluruhannya terus membakar?
Sikap ini wujud bukan pada pemimpin sahaja, tetapi pada tiap diri kita, dan teguran ini ditulis tanpa mengecualikan penulis atau pembaca sendiri dari tanggungjawabnya.
Masa Malaysia untuk perubahan — terutamanya dari perangkap politik perkauman — kian terlepas, dan masa untuk perubahan dalaman parti-parti politik kian sampai.
Pengundi atas pagar di Malaysia tidak lagi fikirkan pembangkang sebagai tiga parti asing, dan kurang berminat kepada dinamik mereka.
Yang dibandingkan sahaja adalah kebolehan mana-mana pihak untuk memerintah dengan telus, cekap dan keprihatinan rakyat yang ikhlas.
Harapan generasi perubahan tidak terikat kepada mana-mana parti PKR, PAS atau DAP, tetapi kepada kemampuan parti-parti ini meninggalkan fikiran sempit dan memberi fokus mereka terhadap entiti Pakatan Rakyat, serta memantapkan tanpa berbelah bagi kerajaan empat negeri yang telah diberi kepada mereka untuk memerintah.
Sekiranya mereka berjaya, maka bermulalah bab baru dalam novel Malaysia. Tanpa perubahan halatuju sekarang, negara tercinta akan terperangkap dalam bab yang sama di mana semuanya berulang-ulang sahaja.
No comments:
Post a Comment