Umum mengetahui mutakhir ini harga minyak petrol telah mulai turun dari RM 135 setong kepada sekitar RM 120 setong. Perubahan harga ini mendorong kita untuk terus komited menurunkan harga minyak sebaik sahaja Pakatan Rakyat memerintah Malaysia.
Rentetan daripada perkembangan baru ini, saya menjelaskan bahawa jika hari ini Pakatan Rakyat memerintah, esok harga minyak petrol turun sebanyak 70 sen. Mesej ini saya sampaikan di sepanjang siri ceramah saya dan yang terbaru di Bentong, malam semalam.
Berikutan pengumuman ini maka adanya tuduhan dilemparkan kononnya mekanisme penurunan harga minyak yang saya anjurkan bersifat populis. Pemilihan perkataan tersebut sememangnya melucukan. Ianya bertujuan menyembunyikan fakta jelas iaitu hasrat kita ialah untuk meringankan beban rakyat. Kita tidak populis, kita pro-rakyat! Kelemahan Barisan Nasional yang diketuai Umno di dalam mengurus ekonomi serta menyalahguna khazanah negara tidak lagi boleh dibiarkan.
Matlamat kita ke Putrajaya bagi memastikan perubahan berlaku dan institusi-institusi kenegaraan dipulihkan. Ekonomi berada dalam keadaan gelita manakala mutu pendidikan merudum!
Dan saya percaya semua rakyat Malaysia juga berkongsi keresahan ini. Pujangga besar Muhammad Iqbal dalam karyanya Zabur-e-Ajam tepat sekali dalam mengungkapkan hasrat Pakatan Rakyat untuk membuat perubahan:
Membakar semangat baru untuk bangsa dan zaman ini; Memberi nyawa baru pada jasad yang telah tua.
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment